Monday, June 8, 2009

Jenis Golongan Manusia


SHEIKH ABDUL KADIR JAILANI (Pembukaan Kepada Yang Ghaib)
Terdapat empat golongan manusia.
Pertama: Mereka tidak ada lidah dan tidak ada hati dan mereka ini adalah manusia yang bertaraf biasa,berotak tumpul dan berjiwa kerdil, yang tidak mengenang Allah dan tidak ada kebaikan pada mereka. Mereka ini ibarat melukut yang ringan, kecuali mereka dilimpahi dengan kasih sayang-Nya dan membimbing hati mereka supaya beriman serta menggerakkan anggota-anggota mereka supaya patuh kepada Allah. Berhati-hatilah supaya kamu jangan termasuk dalam golongan mereka. Janganlah kamu layani mereka dan bergaul dengan mereka. Merekalah orang-orang yang dimurkai Allah dan penghuni neraka. Kita minta dilindungi Allah daripada pengaruh mereka. Sebaliknya kamu hendaklah cuba menjadikanya diri kamu sebagai orang yang dilengkapi dengan ilmu ketuhanan, guru kepada kebaikan, pembimbing kepada agama Allah, pemimpin dan mengajak manusia ke jalan Allah. Berjaga-jagalah jika kamu hendak mempengaruhi mereka supaya mereka patuh kepada Allah dan beri amaran kepada mereka terhadap apa-apa yang memusuhi Allah. Jika kamu berjuang ke jalan Allah untuk mengajak mereka menuju Allah, maka kamu akan jadi pejuang dan pahlawan ke jalan Allah dan akan diberi ganjaran seperti yang diberi kepada nabi-nabi dan rasul-rasul.
Kedua: Mereka yang ada lidah tetapi tidak ada hati. Mereka bijak bercakap tetapi tidak melakukan seperti yang dicakapkannya. Mereka mengajak manusia menuju ke jalan Allah tetapi mereka sendiri lari daripada Allah. Mereka benci kepada maksiat yang dilakukan oleh orang lain, tetapi mereka sendiri bergelumang dengan maksiat itu. Mereka menunjukkan kepada orang lain yang mereka itu saleh tetapi mereka sendiri melakukan dosa-dosa besar. Bila mereka bersendirian, mereka bertindak selaku harimau. Inilah orang-orang yang dikatakan oleh Rasullullah, “yang paling ditakuti dan aku pun takut dalam kalangan umatku ialah orang alim yang jahat.” Kita berlindung dengan Allah daripada orang alim seperti ini. Oleh itu, lari dan jauhkan diri kamu daripada orang-orang seperti ini. Jika tidak, kamu akan terpengaruh dengan kata-kata manisnya ketika berbicara dan api dosanya itu akan memberikan kekotoran hati kamu yang akan membunuh kamu.
Ketiga: Mereka yang mempunyai hati tetapi tidak ada lidah, dan dia adalah seorang yang beriman. Allah telah memdindingkan mereka daripada makhluk dan menggantungkan di sekeliling mereka dengan tabir-Nya dan memberi mereka kesedaran tentang cacat cedera diri mereka. Allah menyinari hati mereka dan menyedarkan mereka tentang kejahatan yang timbul oleh kerana mencampuri orang ramai dan kejahatan kerana bercakap banyak. Mereka itu tahu bahawa keselamatan itu terletak dalam ‘diam’ dan berkhalwat. Rasullullah berkata,”barang siapa diam akan mencapai keselamatan. Sesungguhnya berkhidmat kepada Allah itu terdiri daripada sepuluh bahagian, sembilan daripadanya terletak dalam ‘diam’. Oleh itu mereka dalam golongan ini adalah wali Allah dalam rahsia-Nya, dilindungi dan diberi keselamatan,kebijaksanaan, rakan Allah, dan diberi dengan keredhaan-Nya dan segala yang baik akan diberi kepada mereka. Oleh itu kamu hendaklah bergaul dan berkawan dengan orang-orang ini dan beri pertolongan kepada mereka. Jika kamu berbuat demikian, kamu akan dikasihi Allah dan kamu akan dipilih dan dimasukkan dalam golongan mereka yang menjadi wali dan hamba-hamba-Nya yang saleh.
Keempat: Mereka diajak ke dunia tidak nampak, diberi kemuliaan, seperti sabda Rasullullah, “barang siapa yang belajar dan mengamalkan pelajarannya dan mengajar orang lain,maka dia akan diajak ke dunia ghaib dan dipeliharkan.” Orang dalam golongan ini mempunyai ilmu-ilmu ketuhanan dan tanda-tanda Allah. Hati mereka menjadi gedung ilmu Allah yang amat berharga dan orang itu akan diberi rahsia-rahsia yang tidak diberi Allah kepada orang lain. Allah telah memilih dan membawa mereka hampir kepada-Nya. Allah akan membimbing mereka dan membawa mereka ke sisi-Nya. Hati mereka akan dilapangkan untuk menerima rahsia-rahsia dan ilmu-ilmu yang tinggi. Allah jadikan mereka itu pelaku dan lakuannya dan mengajak manusia kepada jalan Allah dan melarang membuat dosa dan maksiat. Jadilah mereka itu ‘orang-orang Allah’. Mereka mendapat bimbingan yang benar. Mereka boleh memberi pertolongan kepada orang-orang yang menuju jalan Allah. Mereka jadi orang-orang yang benar yang akan mengesahkan kebenaran orang lain. Mereka ibarat timbalan-timbalan nabi dan rasul Allah. Mereka sentiasa mendapat taufik dan hidayah daripada Allah yang Maha Agong. Orang yang dalam golongan ini adalah pada peringkat terakhir atau puncak kemanusiaan dan tidak ada makam di atas ini, kecuali kenabian. Oleh itu hati-hatilah kamu supaya jangan memusuhi dan membantah orang-orang seperti ini dan dengarlah cakap dan nasihat mereka. Oleh itu keselamatan terletak pada apa yang dicakapkan oleh mereka dan kebinasaan serta kerosakan jika di luar daripada dampingan, kecuali mereka yang Allah beri kuasa dan pertolongan terhadap hak dan keampunan.
Jadi,saya telah bahagi-bahagikan manusia kepada empat golongan. Sekarang terpulanglah kepada kamu untuk memeriksa diri kamu sendiri jika kamu mempunyai fikiran dan selamatkanlah diri kamu jika kamu ingin keselamatan. Mudah-mudahan Allah membimbing kita menuju apa yang dikasihi dan keredhaan-Nya, di dunia ini dan di akhirat kelak.
Wallahualam...

No comments: